blogpriasetia

Blog Priasetia: Bab 5
Thursday, May 6, 2010 , 6:33 AM

Disclaimer: Penyiaran sebahagian kandungan novel Blog Priasetia di dalam laman ini adalah bagi tujuan promosi. Sebarang penyiaran semula karya ini tanpa keizinan adalah salah dan melanggar hakcipta penulis. Tindakan akan diambil.

BAB 5

Tajul dan Seri sudah kembali dari Berlin. Sudah dua hari mereka berada di rumah tidak kemana-mana merehatkan diri dari perjalanan yang jauh tetapi menyeronokkan. Seri bercakap tidak henti-henti seolah-olah tiada lagi esok. Sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar isu yang dibincangkan sepanjang simposium itu pun dilambakkan pada Yuni selaku pendengar setia-sekadar mendengar, memahami belum tentu.

Andai mahu diikutkan hati, Yuni ingin saja memaklumkan kejadian malam beberapa hari lalu yang menimpa Azroi tanpa berlengah lagi. Namun tidak sampai hati pula melihat Seri yang begitu bersemangat bercerita itu dan ini.

“Yuni nak tahu, tribulus terrestris dan ekstrak jus anggur yang dijadikan bahan kajian para penyelidik di sana tu akan ditinkan dalam bentuk minuman dan akan berada di pasaran Eropah tahun 2010. Ayah kamu sudah minum. Sedap katanya! Macam minum Ribenna. Tapi kesannya, badan sedikit rasa panas dan bertenaga. Tak ubah seperti ginseng tongkat ali cuma tongkat ali rasanya berbeza.”

“Ibu kalau bercakap macam dia pulak pernah minum tongkat ali. Hehe. Untuk kaum perempuan macam kita tak ada ke Puan Sri?”

“Eh siapa cakap tak ada. Dr. Xavier siap kasi ibu minum tau. Kalau di sini orang panggil Kacip Fatimah, di sana orang panggil Krysa Juice. Padahal kandungan dalam minuman tu sama saja...”

Krysa Juice? Seakan pernah hadir perkataan itu dalam vocabulary mindanya. Melirik mata Yuni memandang jam tangannya. Sudah jam tujuh lima puluh minit pagi. Bergegas Yuni menghabiskan secawan milo yang sudah hilang panasnya ekoran mendengar ceramah kesihatan puan Seri di pagi hari.

Roti bakar puan Seri dicubitnya sedikit masuk ke dalam mulut sebagai cukup syarat. Yuni bersalam dengan Seri. Dahi Seri diciumnya lembut. Kelibat Tajul tidak pula kelihatan, barangkali masih terlelap selepas menunaikan solat Subuh awal pagi tadi. Kekalutan ingin segera tiba di Muzika Entertainment membuatkan dirinya terlupa akan dua perkara. Pertama tentang Azroi, kedua tentang Krysa Juice.

“Bismilahirahmanirahim...”

Sementara menunggu enjin panas, mulut Yuni sudah terkumat-kamit membaca doa naik kenderaan dalam hati. Amalan itu bagaikan sudah sebati dalam dirinya acapkali mahu mula memandu.

“Maha suci Tuhan yang memudahkan kenderaan ini bagi kami, sedangkan kami tiba dengan mudah dengannya dan kepada Allah kami kembali.”

***

Alhamdulilah. Mujur trafik tidak terlalu sesak, Yuni sampai di Muzika Entertainment lima minit sebelum bermula waktu operasi perniagaan. Meluru ke bilik pejabatnya dan meletakkan beg komputer riba yang digalasnya ke atas meja.

Sedikit senaman bahu dilakukannya berulang kali. Naik turun naik turun bahu Yuni dibuatnya. Mata Yuni tertancap pada satu plastik di tray in. Aroma karipap sardin sudah menerawang masuk ke deria baunya. Ada nota kecil tertampal di plastik itu.

‘Rabbit lambat! Wekkk!’

Tersengih Yuni lebar. Ada-ada saja Berry ni, terbit ceria dalam hati Yuni. Belum sempat mahu menjamah, ada ketukan di pintu. Eliza menyeringai di muka pintu.

“Masuklah Liz. Tak bismilah lagi saya dah awak masuk ya. Efisyen betul Muzikers ni.”

Ada gelak kecil di hujungnya. Eliza kurang pasti sama ada Yuni memerlinya atau memujinya.

Eliza merupakan front line (sebab duduknya di kaunter pembayaran) di Muzika Entertainment. Skop tugasnya bukan sekadar sebagai cashier malah gadis itu bertanggungjawab meneliti aliran keluar masuk kewangan di syarikat itu. Andai ada aktiviti aliran keluar wang pejabat, Eliza akan menyediakan laporan untuk dihantar pada abang Mizi untuk disemak.

“Maaf lah pagi-pagi lagi dah kacau Yuni. Abang Mizi, bos kita tu tanya pada Liz kelmarin tentang kos pencetakan poster-poster iklan yang Yuni buat tempoh hari. Dia tanya kenapa sedikit mahal berbanding sebelum ini. Yuni berurusan dengan Digix Printing lagi atau sudah dengan kompeni lain?”

“Oh berkaitan itu rupanya. Yuni masih dealing dengan Digix Printing cuma kosnya up sikit sebab Yuni guna glossy paper pada poster-poster tu. Tak apa-tak apa nanti Yuni buat checklist setiap bahan beserta harga then you can attach it with your report, ok dear.”

Lega Eliza mendengar jawapan Yuni yang sentiasa senyum bila berbicara. Eliza berlalu pergi dan berselisih dengan Berry yang mahu masuk.

Thanks for the curry puff..

Welcome dear. Lambat kau hari ni? Selalu sebelum jam lapan dah tercongok depan komputer.”

“Aku lambat tapi bukan lah sampai terlewat. Ada beza di situ ya. Hehe. Orang tua aku baru balik dari Jerman. Melayan mereka bersembang awal pagi hingga tak sedar masa berlalu.”

“Wow! Jerman? Any gift for me? Keychain maybe?

Sorry Berry.. Orang tua aku hadiri simposium di sana, bukan berjalan sangat. Poskad yang aku pesan pun sekadar sepeket je. Geram tau!”

“Tetap kan kau! Tak habis-habis dengan poskad dia. Nanti kau bukak muzium poskad lah kat Kuala Lumpur ni. Hehe..”

Sambil bersembang, sudah dua ketul karipap sardin Yuni jamah. Suka benar dia dengan karipap sardin. Kalau inti lain, tidak digemarinya sangat.

“Yuni, kau dah bukak emel ofis?”

Yuni menggeleng. Komputer ribanya dihidupkan. Apa saja lah yang penting sangat itu, fikir Yuni.

“Oh tentang ini ya... Ada sebulan lebih lagi kan? Jenuh lah aku nak siapkan brosur berpuluh-puluh keping to tell the youngster.”

Beberapa bulan dari sekarang, Muzika Entertainment akan menerima kunjungan tetamu istimewa dari Amerika, Rasheed X yang merupakan pemain gitar terkemuka di sana. Beliau akan berkunjung di showroom Muzika Entertainment dan pada masa itu nanti beliau akan mengadakan bengkel bermain gitar di tingkat satu dalam bangunan Muzika. Hanya lima puluh orang anak muda yang berbakat dalam bermain gitar akan dipilih untuk menyertai sesi bengkel selama sejam itu.

Tugas Yuni adalah untuk menyediakan brosur empat lembaran berlipat dimana di dalam brosur itu akan diuar-uarkan kehadiran Rasheed X di Muzika Entertainment beserta borang pendaftaran satu muka pada remaja yang berminat untuk menyertai.

Kebiasaannya, Yuni sudah selesa berurusan dengan ICOM – International College of Music yang terletak di Jalan Pahang Kuala Lumpur. Sebarang aktiviti berkaitan muzik yang dianjurkan oleh Muzika Entertainment, ramai pelajar dari kolej muzik itu yang turut serta turun padang. Yuni hanya perlu berjumpa dengan pihak pengurusan dan menyampaikan brosur-brosur itu kepada mereka untuk diserahkan kepada para pelajar.

“Orang Amerika tapi kenapa namanya Rasheed X? Islam ke dia, Berry?”

Yup, he’s muslim. Kau ni Yuni kalau bab mereka grafik hebat tapi bila bercakap tentang muzik - ZERO.”

“Wah kemain kata aku zero muzik ya? Manalah aku tahu tentang muzik ni, Berry. Aku tahu mereka apa yang diminta untuk direka. Nama pun pereka kan? Oh ya, ada softcopy gambar pemain gitar tu? Senang aku design nanti..”

“Abang Mizi ada attach kan sekali dalam emel tu. Cuba kau klik pautan imej..”

Yuni menggerakkan kursor nya. Mengambil masa sedikit lama untuk dimuat-turun berikutan saiz imej nya yang agak besar. Downloading finish – terpapar di skrin komputer riba Yuni. Imej jpeg itu dikliknya pantas.

Hey, Richard!!!!!”

Menjerit nada Yuni membuatkan Berry yang duduk di depannya tersentak. Menjenguk kepala Berry mengadap skrin komputer riba Yuni.

“Richard? Who’s Richard? He’s Rasheed lah...”

No no...he’s Richard! Aku kenal lelaki ni, Berry!”

Bersungguh-sungguh Yuni cuba menyakinkan Berry. Mata Yuni tidak lepas memerhati penuh teliti imej lelaki yang diyakininya sebagai Richard itu. Berambut hitam berkilat akan tetapi mata coklat gelapnya tidak kelihatan dek memakai kacamata hitam di dalam imej berdimensi 2485 x 1756 piksel itu.

Sekali imbas, Yuni sudah mengecam figura lelaki tersebut walaupun imej itu imej pegun. Mentol akal Yuni berkelip mendapat idea. Laman sensawang Google dibukanya. Dalam ruang carian, dia menaip nama Rasheed X dan klik pada ‘images’.

Sesaat dua, terpapar hasil carian. Punyalah ramai dalam dunia ni nama Rasheed! Getus hati Yuni tatkala melihat lambakan imej seluruh dunia yang memaparkan gambar lelaki bernama Rasheed tetapi dalam banyak itu tidak ada satu pun Rasheed X yang dicari. Sedikit mengeluh Yuni.

Jika ada, boleh Yuni memastikan sama ada Rasheed X adalah Richard ataupun tidak. Ini kerana imej yang diemelkan abang Mizi, lelaki itu memakai kacamata hitam dan wajahnya memandang ke sisi. Agak berbelah-bahagi Yuni tiba-tiba akan kesahihan tekaannya tadi.

“Kau kata dia pemain gitar terkenal di Amerika, bukan? Masakan tiada gambar dia dalam internet?”

“Rasheed X baru setahun dua terkenal di sana. Itupun setelah dia berkolaborasi dengan Sting, musician yang pernah menang Grammy tu untuk projek filem animasi Bee Movie sekitar tahun 2007. Rasheed X ada sumbangkan lagu untuk soundtrack filem itu. Dari situ, dia dikenali. Kejap-kejap..aku penat menceceh semua ni, kau tahu ke Sting tu siapa? Kau kan zero muzik. Haha. Lagi satu, Richard tu siapa pulak?”

Tiada respon dari Yuni. Tidak berkutik pun hati gadis itu dengan usikan berbaur perlian Berry. Otaknya ligat berfikir itu dan ini. Jika benar Rasheed ini adalah Richard, maka dia anak kepada Dr. Xavier kawan baik ayahnya sendiri, Tajul. Tapi kenapa jauh benar menyimpang latarbelakang mereka anak-beranak? Dr. Xavier seorang doktor, mana mungkin Richard pula seorang pemuzik?

Mungkin bunyinya agak tidak logik tetapi bila memandang akan diri sendiri, Yuni seakan boleh menerima teori yang dibuatnya. Sedangkan dirinya seorang pereka grafik tetapi Tajul pula seorang penyelidik di makmal. Dua dunia berbeza.

Argh! Kenapa perlu beratkan kepala memikirkan semua ini? Yuni tersandar di kerusi pejabat sambil memicit-micit dahi walaupun tidak lah pening sebenarnya. Sekadar tindakbalas spontan seraya sedang berfikir.

“Ok lah Yuni, aku balik bilik aku. Jangan lupa siapkan brosur tu. Karipap tu jangan lupa habiskan, ada empat ketul lagi tu. By the way, nanti 25 April datang Rasheed X tu kat sini kau jangan terlopong pulak tengok mamat tu perform. Ni baru tengok gambar, dah tak berkelip mata tu! Haha.”

Wekkk!”

Yuni menjuihkan mulut kepada Berry yang sudah pun mengangkat kaki. Berry seperti biasa kalau tidak pukul sembilan pagi, usah harap akan tinggalkan bilik Yuni. Suka benar lelaki itu bersembang dengan Yuni dan gadis itu hendak tidak hendak terpaksa melayan.

Ternyata hari ini hari yang penuh misteri bagi Yuni. Dari rumah hinggalah ke pejabat, ada saja poin-poin yang mendesak kepalanya untuk tidak berhenti berfikir. Yuni cuba refresh akan perkara-perkara yang berlegar dalam mindanya sehari dua ini.

Azroi yang dibelasah sampai lebam-lebam perutnya. Siapa memukul dan kenapa adiknya dipukul, masih menjadi rahsia. Minuman Krisya Juice yang dicipta Dr. Xavier juga masih menjadi tanda tanya. Kini timbul pula Rasheed X yang wajahnya persis Richard anak kepada Dr. Xavier. Lepas ini, apa pula yang bakal menyusul tiba?

Yuni memejamkan mata rapat-rapat apabila matanya terlihat silau tiba-tiba. Berdepan skrin komputer riba terlalu lama memang tidak baik untuk kesihatan mata. Yuni mencapai Eye Mo Moist dan dititisnya pada bebola mata. Segar. Tiada silau lagi.

Masa untuk bekerja. Doa melakukan kerja dibacanya dalam hati. Rajin benar Yuni mengamalkan doa-doa seperti ini. Seri yang melatihnya semenjak kecil lagi. Seri sering menasihati Yuni, katanya kalau sunnah nabi yang besar-besar kita tidak berupaya mengikutinya, mengikut sunnah nabi yang kecil-kecil seperti berdoa ini pun tidak apa. Besar rahmatnya.

“Ya Allah ya Tuhanku, aku memohon kepada Mu akan kebaikan pada pekerjaan ini dan apa-apa kebaikan yang ada padanya. Dan aku berlindung dengan Engkau dari keburukan pada pekerjaan ini dan apa jua keburukan yang ada padanya.”