blogpriasetia

Blog Priasetia: Bab 4
Thursday, May 6, 2010 , 6:32 AM

Disclaimer: Penyiaran sebahagian kandungan novel Blog Priasetia di dalam laman ini adalah bagi tujuan promosi. Sebarang penyiaran semula karya ini tanpa keizinan adalah salah dan melanggar hakcipta penulis. Tindakan akan diambil.

BAB 4

Tajul dan Seri sudah dua hari berada di Berlin menghadiri Anthropology of Beautyism: Body & Mind Symposium 2009. Acara itu berlangsung selama dua hari saja, selebihnya Tajul dan Seri mahu menghabiskan masa berdua melancong tempat-tempat menarik di Jerman. Romantis sungguh pasangan Tajul dan Seri. Dalam usia emas sebegitu, kasih sayang di antara mereka makin kukuh dan utuh.

“Ayah jangan lupa belikan dozens of postcard untuk Yuni tau. Yuni mahu poskad ada gambar Charlottenburg Palace, Potsdamer Platz, Brandenburg Gate...pendek cerita semua landmark kat sana lah. Hehe..”

Setiap kali Tajul menelefon, itulah pesanan Yuni pada Tajul. Sudah menjadi kelaziman, setiap kali ibu ayahnya keluar negara bercuti, poskad lah yang Yuni minta. Koleksi poskadnya sudah berkotak disimpan dengan baik. Andai mereka satu keluarga bercuti, pasti Yuni mengheret kedua-dua orang tuanya singgah ke kedai cenderahati untuk memborong poskad sebelum peluang ke tanahair.

Pernah satu ketika dimana mereka empat beranak bercuti di Canberra. Berpaket-paket poskad negara kanggaru itu dibelinya. Terkasima pemilik kedai cenderahati tersebut melihat kerenah pelancong dari Malaysia itu.

Yuni memandang kosong banglo hasil kongsian pasangan bahagia Tajul dan Seri yang tersergam indah dari luar. Sunyi saja suasana di dalamnya, timbul pula rasa terpinggir menjeruk hatinya tatkala keseorangan.

Ibu ayahnya sudah keluar negara, seminggu dua lagi baru pulang. Adik lelakinya pula bagaikan panas punggung andai melekat di rumah itu. Tidak sampai lima belas minit, sudah lesap entah kemana. Andai ditegur, mulalah memberontak. Jam dua tiga pagi baru lah nampak batang hidung.

“Priasetia!”

Terpacul nama itu dalam ingatan Yuni spontan. Sudah lima hari rasanya (sambil Yuni menghitung menggunakan jari) dia tidak menjengah laman blog kesukaannya itu. Ini gara-gara dateline task di Muzika Entertainment yang perlu diberikan fokus dan keutamaan terlebih dulu.

Alhamdulilah semua artwork dalam bentuk Acrobat Reader sepertimana yang dikehendaki oleh bahagian pemasaran sudah pun siap dan Berry pun kelihatan gembira melihat hasil grafik ‘rabbit’ nya itu-kini dalam proses pencetakan sebelum dipamerkan dalam showroom Muzika Entertainment.

Yuni sudah menaip url http://priasetia.blogspot.com. Laman blog yang wujud semenjak tahun 2007 itu sudah bertukar templatenya malah latar yang lima hari lalu berwarna hijau lembut sudah bertukar menjadi hitam kelam. Kalau lima hari lalu, lagu rancak ‘Jatuh Cinta Lagi’ menjadi lagu tema blog tersebut namun kini lagu ‘Cobalah Untuk Setia’ dendangan diva Indonesia, Kris Dayanti. Aku hafal lirik lagu ni, desis hati Yuni. Lagu sedih lah pulak, desisnya lagi.

Yuni merupakan pembaca setia blog (atau lebih tepat lagi sebagai ‘silent reader’) Priasetia sejak awal kemunculannya. Walaupun identiti Priasetia tidak diketahuinya kerana dalam setiap entry yang ditulis oleh lelaki itu tidak pernah sekalipun memaklumkan namanya yang sebenar dan gambar-gambar yang dimuat-naik dalam blog itu tidak pernah memaparkan gambar empunya tuan blog itu sendiri. Sedikit misteri di situ.

Jurnal lelaki bergelar Priasetia itu bagi Yuni sangat istimewa kerana penulisannya kedengaran jujur dan luhur sekali. Kadangkala Yuni merasakan Priasetia terlalu peka orangnya dan sensitif jiwanya. Jika ada entry yang menceritakan dirinya dalam kegembiraan, Yuni turut merasa kebahagiaannya dan jika ada entry yang menceritakan dirinya dalam kesedihan, terpalit rasa pedih di jiwa Yuni seolah-olah berkongsi perasaan yang serupa. Sampai begitu sekali!

Persis cerekarama di layar televisyen setiap malam Sabtu yang ditunggu-tunggu penonton, begitulah senarionya yang berlaku pada Yuni pada sifat entusias nya terhadap blog Priasetia hari demi hari.

Jurnal Priasetia

Aku lali mendengar kata-kata ‘setiap yang berlaku nescaya ada hikmahnya’. Mana hikmahnya? Bersembunyi dari aku? Mungkin bunyinya agak skeptikal atau jelas benar aku seperti sudah putus harap tetapi itulah realilti. Bukan mahu pesismitik tetapi tidak salah jika aku menjatuhkan hukuman ni ke atas semua kaum Hawa. Hipokrit! Marahku pada Dewi Krisya masih belum luput walau sudah berpuluh-puluh tahun berlalu kini dendamku kepada perempuan meluap kembali.

Dewi Krisya? Siapa pula tu? Berbisik seorang diri Yuni depan skrinnya. Sempat lagi Yuni mencapai bertih jagung madu yang disimpan dalam balang kaca berbentuk silinder di meja komputernya. Mengunyah perlahan-lahan. Lagaknya seolah-olah di dalam panggung wayang! Asyik sungguh Yuni membaca entry terbaru Priasetia. Disambung semula pembacaannya ingin mengetahui kesudahan.

Perangai Lola Kesandra saling tak tumpah dengan perangai Dewi Krisya. Kedua-dua mereka persis seekor kucing persian! Terlalu manja dengan manusia sekeliling dan rela diri dibelai, diusap, didukung oleh sesiapa jua! Menjilat-jilat bulu yang lebat setelah puas dan kekenyangan diberi makan. Mengiau lembut dan tertidur di kamar mewah.

Aku masih ingat lagi ketika usiaku baru menginjak tujuh tahun. Petang itu dada langit berlaku gerhana matahari. Kejadian alam yang seakan-akan simbolik pada kehidupanku yang turut dilanda gerhana. Aku baru balik dari bermain bola di padang. Kerna suasana sudah gelap, aku senyap-senyap masuk ke rumah menggunakan pintu belakang. Takut kelibatku dikesan Dewi Krisya yang garangnya bukan kepalang. Aku cepat-cepat menyusup ke dalam kamar mandi membersihkan diri.

Detik itulah pendengaranku menangkap satu bunyi. Pelik bunyinya. Terjengket-jengket kaki aku mampir ke arah bunyi itu. Datangnya dari kamar beradu Dewi Krisya. Makin diamati makin lantang bunyinya. Aku cuba menolak daun pintu perlahan-lahan. Sedikit terbuka. Penglihatanku tidak jelas kerana kamar itu tidak dipasang lampunya. Bergelap. Akan tetapi, aku bisa melihat ada dua tubuh manusia sedang berhimpit-himpitan di dalam kelambu mewah itu. Aku kenal suara Dewi Krisya. Bunyi aneh itu datangnya dari perempuan itu. Hati aku sangat kuat debarannya.

Alamak! Sampai situ je, keluh Yuni. Bagaikan membaca e-novel pula lagaknya. Siapa pula Lola Kesandra? Yuni dapat menangkap apa yang cuba disampaikan Priasetia menerusi perenggan terakhir entry lelaki itu. Dari gaya bahasanya, Yuni membuat kesimpulan yang Dewi Krisya melakukan maksiat di depan mata Priasetia. Namun, apa hubungan mereka?

Yuni gigih membelek-belek older post di laman blog Priasetia. Tiada pula nama Lola Kesandra atau Dewi Krisya disebut-sebut dalam jurnalnya sebelum ini. Cuma apa yang Yuni tahu, Priasetia rapat dengan bapanya yang selalu dipanggil ‘daddy’ sepertimana yang tertaip pada beberapa entry terdahulu.

Yuni meraba-raba bertih jagung madu dalam balang kaca yang sudah habis dimakannya tanpa sedar. Mata ralit membaca dan dalam masa yang sama mulut laju mengunyah. Hampir terlepas dari genggaman balang kaca kosong itu bila mendengar bunyi pintu terkatup kuat di luar. Azroi sudah pulang. Detik sepuluh empat belas minit malam. Segera Yuni turun ke bawah menuruni tangga.

“Ya Allah, Ayoi!!!”

Menjerit Yuni kuat. Azroi sudah tersembam di muka lantai. Tubuh badan lelaki itu mengigil-gigil menggelupur. Yuni yang tidak segagah mana, sedaya-upaya memapah tubuh adiknya diletakkan atas sofa panjang di ruang tamu rumah tersebut. Apa dah jadi dengan adik aku ni? Yuni hilang punca.

Berlari Yuni ke biliknya mengambil telefon bimbit. Siapa yang mahu aku hubungi? Dalam keadaan cemas seperti itu, Yuni mati akal. Masakan mahu menghubungi Tajul dan Seri di Berlin? Kalau diberitahu sekalipun, penerbangan dari Berlin Tegel Airport ke KLIA memakan masa beberapa jam. Yuni bertawakal di dalam hati.

Berlari sekali lagi Yuni ke dapur pula. Mengambil tuala bersih di kabinet dan direndamnya dalam bekas plastik berisi air suam. Diletaknya atas meja ruang tamu dan berlari pula ke bilik Azroi mencapai selimut tebal dan bam gamat pandan.

Yuni menyelimuti tubuh badan Azroi. Tuala yang direndam tadi diperah dan ditekapkan ke muka Azroi beberapa ketika. Hilang haba panas itu, diulanginya lagi berkali-kali sehingga badan Azroi tidak lagi menggigil kuat seperti tadi. Yuni mencuit sedikit bam gamat pandan dan meletakkan di hidung Azroi. Tujuannya supaya Azroi dapat sedar kembali apabila terhidu aroma yang kuat dari bam tersebut.

Kelopak mata Azroi terbuka setengah. Redup saja pandangannya. Tidak larat sebenarnya tapi tetap digigihkan diri cuba duduk menyandar di sofa itu. Diselubung badannya dengan selimut kemas-kemas. Yuni cuba membantu tapi ditolak tangan kakaknya itu. Sakit-sakit pun masih begini perangainya, getus Yuni geram.

“Kenapa ni? Kena pukul dengan samseng? Selak baju kau, akak mahu tengok mana tahu lebam sana-sini.”

Yuni bertegas. Azroi tetap membatu.

“Sebab akak lah, Ayoi jadi camni!! Hari tu orang nak pinjam duit, kedekut sangat!”

“Kau tak beritahu untuk tujuan apa, mana boleh senang-senang akak nak kasi.”

“Ayoi pinjam duit kawan beli barang tapi tak mampu nak bayar balik..”

“Barang apa??”