blogpriasetia

Blog Priasetia: Bab 3
Thursday, May 6, 2010 , 6:31 AM

Disclaimer: Penyiaran sebahagian kandungan novel Blog Priasetia di dalam laman ini adalah bagi tujuan promosi. Sebarang penyiaran semula karya ini tanpa keizinan adalah salah dan melanggar hakcipta penulis. Tindakan akan diambil.

BAB 3

Ada tiga atau empat poster iklan sebesar saiz A1 perlu disiapkan dalam tempoh seminggu. Memandangkan banyak produk baru masuk minggu hadapan untuk dipamerkan di showroom maka setiap produk terkini perlu ada papan iklan bagi menerangkan kepada pelanggan yang berkunjung tentang spesifikasi dan cara berfungsi gajet muzik tersebut. Yuni menerima tugas itu dengan hati terbuka, memang sudah tanggungjawabnya di bahagian grafik.

Kereta Suzuki Swift berwarna biru metalik sudah pun diparkirkan di depan rumah. Dari luar lagi, Yuni sudah terhidu aroma masakan Puan Seri yang membangkitkan seleranya. Puan Seri adalah ibu Yuni. Lawa orangnya. Mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. Sesiapa pun yang memandang Yuni mesti mengatakan yang dirinya mewarisi kecantikan ibunya. Kulit putih merah mulus, sebutir jerawat kecil pun tiada. Nampak jernih saja raut wajah mereka anak-beranak.

“Assalammualaikum Puan Sri. Eh, Tan Sri pun ada... Tan Sri Tajul Zakaria tak outstation?”

Seri dan Tajul menjawab salam anak mereka menyeringai. Yuni berjenaka dengan kedua-dua orang tuanya tatkala menyedari ibu dan ayahnya berganding bahu menyediakan hidangan makan malam di dapur. Aduhai romantis sungguh mereka. Ada rasa syukur menyelinap dalam hati Yuni melihat kebahagian Seri dan Tajul.

Seri tidak pun berpangkat ‘puan sri’ begitu juga dengan Tajul. Yuni memang suka mengusik mereka berdua dengan memanggil gelaran itu lebih-lebih lagi nama ibunya Seri, apabila ditambah ‘puan’ di awalannya maka timbullah pangkat ‘puan sri’ itu. Senang-senang boleh dapat title tanpa perlu sebarang pengiktirafan atau penganugerahan. Ada-ada saja Yuni.

Tidak mengambil masa yang lama untuk membersihkan diri, Yuni sudah segar badannya selepas mandi. Usai empat rakaat solat Isyak, segera Yuni menerpa ke dapur ingin menghulurkan bantuan.

“Ada apa-apa Yuni boleh tolong, yah?”

“Tolong makan. Mari duduk Yuni sebelah ayah.”

Selamba saja Tajul memberi respon. Yuni tersenyum lebar. Macam-macam lauk pauk di atas meja. Ikan bawal masak kerisik jadi kepala hidangan. Kerang goreng pun ada. Kerabu mangga pun ada. Caca merba konsepnya. Gembira bukan kepalang Yuni menghadap rezeki Allah Subhana wa ta'ala. Sementara Seri menyenduk nasi ke pinggan mereka anak-beranak, Yuni berkerut dahi.

Aik, tiga pinggan je? Satu lagi mana? Ayoi tak ada dalam bilik dia ke bu?”

“Katanya main futsal dengan kawan-kawan.”

Ringkas jawab Seri menaruh seratus-peratus kepercayaan kepada anak tunggal lelakinya itu.

Azroi adik Yuni. Beza setahun muda usianya berbanding Yuni. Azroi masih belajar di peringkat diploma, mengambil bidang hospitaliti. Tidak seperti Yuni dalam usia dua puluh empat tahun sudah memegang ijazah dalam bidang Teknologi Maklumat pengkhususan kepada Kepintaran Buatan tetapi cenderungnya tidak pada programming tetapi lebih kepada grafik dan multimedia. Malah kerjayanya sekarang pun tidak melibatkan programming seperti yang dibelajarnya di universiti.

Azroi agak lewat memulakan pembelajaran di IPT kerana sebaik sahaja menerima keputusan tidak memberansangkan dalam Sijil Pelajaran Malaysia, lelaki itu bekerja sebagai waiter di sebuah hotel lima bintang di tengah kota Kuala Lumpur. Katanya mahu mencari pengalaman pada awalnya tetapi dari setahun meleret ke setahun sehinggalah ke tahun yang keenam. Bukan lekat pada satu-satu hotel tetapi berpindah-randah tempat kerjanya. Dari hotel-hotel di Kuala Lumpur ke hotel-hotel di Shah Alam.

Apabila Yuni bertanya atas alasan apa gemar bertukar-tukar tempat kerja, Azroi tidak pula menjawab. Namun Yuni mengetahui sesuatu tentang adiknya dimana sampai sekarang rahsia itu disimpan dari pengetahuan kedua-dua orang tuanya.

Yuni pernah mendapat maklumat daripada kawan-kawan waiter adiknya bekerja yang memberitahu padanya Azroi ada masalah disiplin. Ditanya masalah disiplin apa? Sepakat kawan-kawan Azroi menjawab hampir serentak, DADAH!

Tatkala itu, Yuni merasakan bagai mahu terkeluar jantung dari dalam dadanya. Sejurus mendengar pengkhabaran kurang enak tentang Azroi yang keluar dari mulut-mulut bekas kawan sekerja adik lelakinya itu, pernah Yuni berkali-kali membuat spot check di bilik Azroi ketika ketiadaannya. Gagal menjumpai apa-apa.

Cuma Yuni menyedari perubahan pada diri Azroi, agak kurus dan cengkung lebih-lebih lagi putih matanya selalu merah. Azroi selalu memberi alasan mata merah sebab berjaga sehingga larut malam. Entahlah. Makin difikir, makin berat kepala Yuni menanggung beban.

Yuni tidak putus memanjatkan doa pada Allah Subhana wa ta'ala agar satu-satunya adik yang dia ada ini tidak terlibat dalam sebarang perkara yang boleh merosakkan masa depan diri sendiri. InsyaAllah. Yuni cuba mengumpul semangat!

“Amboi, terus berangan lepas kekenyangan. Ayah tengok Yuni bawa banyak barang kerja tadi, tak penat ke bawa balik kerja ke rumah? Kerja biarlah di ofis saja Yuni, di rumah manfaatkan masa yang ada bersama keluarga.”

Yuni mengakui akan kebenaran kata-kata Tajul. Namun sudah tabiatnya membawa kerja sampai ke rumah. Mahu cepat siap! Mahu kejar masa! Itulah prinsip tidak sihat yang dipegang oleh Yuni walau berkali-kali disumbat nasihat demi nasihat daripada Seri dan Tajul.

Seri yang melihat perbualan antara Tajul dan Yuni di ruang tamu sambil membuka televisyen tapi tidak pula menontonnya (membazir elektrik saja), mendekati anak-beranak itu.

“Yuni, ibu dengan ayah minggu depan mahu ke Berlin.”

Lebar senyuman Seri. Ada perbezaan senyuman Seri dengan Yuni. Yuni mulutnya kecil, bila tersenyum kelihatan sungguh comel sekali.

“Ke Berlin? Amboi, kemain jauhnya! Melancong?”

“Menyelam sambil minum air..”

Hah? Menyelam di Berlin? Puan Sri biar betul?”

Ada nada terkejut di situ namun cuba disembunyikan dengan usikan title itu. Seri dan Tajul gelak serentak.

“Maksud ibu kamu tu Yuni, melakukan dua perkara serentak dalam satu masa. Kami sebenarnya mahu ke sana atas jemputan Dr. Xavier. Alah, kawan ayah yang pernah ke kampung kita di Melaka dulu tu. Ada simposium berkaitan kesihatan.”

Terang Tajul agak lengkap butirannya. Tajul mengenali Xavier sejak tiga tahun dulu, ketika itu Tajul tidak mengetahui Xavier seorang doktor, doktor kecantikan dan kesihatan lebih tepat lagi. Pertemuan secara tidak sengaja yang kebetulan pada masa itu Xavier dan isteri beserta anak lelakinya, Richard (seusia dengan Yuni malah boleh berbahasa melayu agak fasih kerana isteri Xavier seorang Indonesia, Dewi namanya) datang ke kota Melaka bandaraya bersejarah itu atas tujuan melancong semata-mata.

Kejadian kemalangan beca bertembung beca andai dibayangkan dalam kotak pemikiran sesiapa jua, bunyinya agak kelakar. Namun itulah yang terjadi dan ekoran kejadian itu merapatkan dua buah keluarga dari dua benua.

Yuni pun masih ingat lagi akan peristiwa lucu itu ditambah lagi apabila mendengar orang putih melatah di depan mata. Jelas terngiang-ngiang di telinganya perkataan, ‘Aduh Mak’ yang terpacul keluar dari mulut Richard. Slanga Inggerisnya yang membuatkan Yuni tidak lupa sampai bila-bila menahan tawa dalam perut.

Roda beca keluarga Xavier yang dibawa oleh seorang pakcik tua, tertanggal rantainya lantas melanggar beca yang sedang melalui jalan itu dari arah bertentangan yang kebetulan dinaiki oleh Yuni dan Tajul.

Tajul tiga tahun dulu masih belum pencen, masih bertugas sebagai seorang penyelidik makmal di sebuah syarikat minuman bertenaga orang kampung yang telah dikomersial keluar bandar dengan jayanya.

Tertarik dengan kehebatan Eurycoma Longifolia, Labisa Pumila, Piper Betle dan beberapa lagi spesis tanaman herba yang boleh dijadikan sebagai produk minuman isotonik dan kesihatan, Xavier lantas memperkenalkan dirinya sebagai Doktor dimana pengkhususannya juga dalam bidang yang sama di negaranya-di Jerman.

Antara Dr. Xavier dan Tajul, mereka saling berkomunikasi menerusi emel malah Dr. Xavier sendiri pernah ke kampung halaman Tajul untuk melihat sendiri dengan lebih dekat apa itu pasak bumi, apa itu kacip fatimah.

“Iyalah simposim berkaitan kesihatan but please more specific ayah, bu..”

Agak tidak puas hati di situ. Yuni pun tidak tahu kenapa perlu dia beria-ia mahu mengambil tahu.

“Kamu bersungguh mahu tahu tentang simposium atau tentang Richard?”

Tajul mengusik. Serta-merta darah merah berlumba-lumba naik di muka bertindakbalas dengan pertanyaan Tajul itu tadi. Mujur ada Seri menyelamatkan keadaan. Seakan mengerti perasaan anak gadisnya itu tidak selesa dengan usikan Tajuk yang sekadar basa-basi sebenarnya.

“Menurut auntie Dewi kamu, simposium di Berlin itu nanti berkaitan satu usaha oleh sekumpulan penyelidik termasuk Dr. Xavier sendiri berkaitan sejenis ramuan semula jadi yang diharap dapat menandingi kehebatan Viagra dalam merawat impotensi. Rawatan yang dikenali sebagai Plantagrar itu menggunakan koktail tumbuhan Tribulus terrestris dan ekstrak jus anggur. Tapi ibu tidak pasti sama ada ramuan itu dikapsulkan dalam bentuk pil atau dijadikan dalam bentuk cecair seperti minuman tenaga Tongkat Ali yang dipasarkan di sini. Mungkin di sana nanti kami diberi jawapannya.”

Panjang lebar keterangan Seri hingga berkerut Yuni mendengarnya cuba menghadam maklumat. Seri yang tidak punya latar belakang tentang ilmu perubatan herba dan tumbuhan lagaknya seperti pakar dalam bidang itu. Ke sana ke sini mengikut suaminya, Tajul membuka minda Seri mengenali dunia baru berkaitan herbology. Yuni tergelak kecil tiba-tiba. Rasa lucu mencucuk-cucuk tangkai hatinya. Seri dan Tajul kehairanan.

“Ibu kalau bercakap mengalahkan profesor. Kasihan anak ibu ni yang terkial-kial nak faham ni tau.”

Yuni mencebirkan bibirnya seraya disambut gelak tawa Seri dan Tajul. Mana tidaknya, masing-masing dalam keluarga mereka berlainan latarbelakang pendidikan. Tajul ke arah phytotherapy, Yuni pula menjurus artificial intelligence walaupun hatinya tidak berminat dalam bidang itu ketika di IPT, mengambil pengkhususan AI semata-mata mahu ‘test power’. Boleh pula begitu?

Yuni lebih gemar bermain dengan photoshop, illustrator, flash, javascript dan seumpamanya kerana bagi gadis comel itu, dunianya lebih ke situ. Azroi pula kini dalam bidang hospitality. Itu pun setelah di’brainwash’ oleh Yuni untuk menyambung kembali pembelajaran yang terkandas sebelum ini.

Pengalaman selama hampir 6 tahun bekerja dalam industri penghotelan bagi Yuni satu kelebihan pada adik lelakinya untuk meneruskan pengajian dalam bidang itu secara profesional. Berdoa dalam hati Yuni mengharap Azroi akan berjaya dan lebih fokus dalam kehidupan. InsyaAllah.

Richard siapa pula pada diri Yuni? Sebenarnya, Yuni sendiri kurang pasti dengan status pegangan agama keluarga Dr. Xavier dan Dewi. Tidak berani pula mahu bertanya akan hal itu kepada Tajul dan Seri nanti nampak benar dirinya seperti mahu mengetahui segala.

Xavier menganut Kristian, Dewi seorang Muslim maka anak tunggal dalam keluarga itu mengikut fahaman yang mana satu? Nama pun Richard, nama inggeris. Entahlah. Kusut pula Yuni memikirkan status agama lelaki tampan kacukan Jerman-Indonesia itu.

Namun Richard lebih berat gen nya ke arah Asia mengikut gen Dewi, berambut hitam berkilat dan bermata coklat gelap. Cuma susuk tubuhnya yang tegap tinggi lampai dan berkulit putih merah berpacak-pacak mengidentifikasikan lelaki itu bukan berdarah Asia sepenuhnya.

Hubungan Yuni dan Richard tidak semesra hubungan Tajul dan Xavier. Mungkin kerana mereka berlainan jantina, maka timbul rasa malu untuk Yuni mendekatkan diri dengan anak lelaki kawan baik ayahnya itu. Richard pun tampak tidak ramah orangnya membantutkan hubungan persahabatan antara mereka.

Apa yang Yuni tahu, Richard punya kekasih hati gadis dari Malaysia. Barangkali sudah menjadi trend atau memang citarasa orang putih memilih perempuan asia dijadikan pasangan. Yuni tidak ambil pusing semua itu. Dia sendiri tidak selesa dengan perangai Richard persis kera sumbang dan tidak campur orang. Tragedi beca itu saja yang menggelikan hatinya tatkala mengenangkan lelaki tampan itu melatah dengan pelat keinggerisannya. Lucu sungguh.

Bunyi skuter memasuki laman rumah memecahkan lamunan Yuni. Azroi berkemeja petak-petak berwarna biru sedondon dengan skuter birunya (Suzuki Swift Yuni juga biru warnanya, warna kegemaran mereka adik-beradik) mampir ke arah Yuni. Monyok saja muka adik aku ni, duga Yuni dalam hati.

“ Ibu kata kau main futsal. Dah makan?”

“Kak Yun, Ayoi nak pinjam duit lah..”

Belum sempat masuk ke dalam rumah malah pertanyaan Yuni pun tidak dijawabnya lagi, Azroi sudah buat muka ‘seposen’ depan kakaknya.

“Duit? Berapa banyak kau nak pinjam?”

“Tak banyak..lima ratus saja. Please sis...”

Ayoi sedikit merayu dengan mimik muka penuh mengharap. Terkasima Yuni mendengar amaunnya. Bukan tidak mampu tetapi fikirannya sudah terlintas imej-imej yang tidak baik. Dipujuk akalnya untuk tidak berfikir bukan-bukan.

“Kau nak guna duit banyak tu buat apa? Beli buku? Bukan ke loan masuk setiap semester?”

Bertubi-tubi Yuni menggasak dengan soalan. Agak tinggi nada suara Yuni.

“Pinjam kan je lah kak, jangan banyak soal macam mak nenek pulak! Nanti Ayoi bayarlah balik!”

Sudah mencuka raut wajah Azroi. Hilang mimik muka separuh merayunya sebentar tadi. Nampak sangat Azroi sekadar berlakon awalnya untuk memancing simpati Yuni.

“Iyalah, akak boleh pinjam kan tapi akak berhak bertanya duit tu kau mahu gunakan atas urusan apa? Mahu beli dadah?”

Yuni tidak mampu mengawal diri. Terus dia berserkap jarang! Berat tuduhan Yuni ke atas adiknya itu. Azroi naik darah ditembak dengan kenyataan tersebut.

“Kak Yun jangan memandai-mandai nak menuduh pulak! Bullshit lah you, sis!”

Azroi merempuh masuk ke dalam rumah tanpa mempedulikan Yuni yang masih tercegat di muka pintu masuk. Terhuyung badan Yuni ke belakang diasak sebegitu. Beristighfar Yuni dalam hati banyak kali menahan sabar.

Api andai dilawan dengan api, marak jadinya. Yuni menarik nafas sedalam-dalamnya. Sikit-sikit memberontak, getus Yuni seorang diri. Kelibat Azroi sudah tidak kelihatan lagi sebaik meluru masuk ke bilik yang tertulis ‘No Woman Allowed’ di pintunya.