blogpriasetia

Blog Priasetia: Bab 2
Thursday, May 6, 2010 , 6:29 AM

Disclaimer: Penyiaran sebahagian kandungan novel Blog Priasetia di dalam laman ini adalah bagi tujuan promosi. Sebarang penyiaran semula karya ini tanpa keizinan adalah salah dan melanggar hakcipta penulis. Tindakan akan diambil.

BAB 2

Bergegas Yuni mempercepatkan langkah meluru ke bilik pejabatnya. Bukan kerana sudah terlewat, sedangkan tika itu jam di tangannya baru berdetik ke digit lapan. Lebih tepat lagi pukul lapan pagi. Ada setengah jam lagi untuk memulakan tugasnya di Muzika Entertainment.

Menyandang jawatan sebagai pereka grafik di syarikat tersebut merupakan satu kelebihan pada dirinya yang masih muda. Berusia dua puluh empat tahun dan sudah pun berkerjaya tetap. Kawan-kawan Yuni yang lain masih lagi tercari-cari pekerjaan yang bersesuaian dengan diri mereka dalam usia sebegitu. Mungkin sudah rezeki Yuni. Terbersit kata syukur kepada Allah Subhana wa ta'ala dalam hati gadis comel itu setiap kali mengenangkan pencapaian diri sendiri.

“Jom sarapan, rabbit!”

Tegur satu suara. Pelawaan klise setiap pagi yang menyinggah pendengaran Yuni saban hari. Mahu menolak selalu, tidak manis pula sedangkan mereka sebumbung mencari rezeki. Andai menerima ajakan itu selalu, dikhuatiri timbul pula gosip-gosip liar di kalangan Muzikers.

Istilah yang digunapakai dalam Muzika Entertainment dimana staf-staf yang berkerja di situ digelar ‘Muzikers’. Yuni pada awal kemasukannya dalam syarikat itu agak canggung dengan gelaran tersebut. Sewenang-wenangnya merosakkan bahasa, getus Yuni dua tahun lalu. Namun sekarang ini, dia sendiri sudah terbiasa menggunakannya dalam emel-emel ofis.

“Berry belikan breakfast untuk Yuni, boleh?”

Balas Yuni acuh tak acuh namun sempat hadiahkan senyuman sekadar pemanis perbualan dengan lelaki di hadapannya. Berry, unik bukan nama lelaki itu. Anak kelahiran bumi kenyalang. Lima tahun lebih tua usianya berbanding Yuni. Bertubuh tegap dan acapkali menjadi orang pertama di pintu keluar pejabat apabila tiba waktu balik. Takut terlambat ke gimnasium katanya setiap kali Muzikers bertanya perihal kenapa dirinya suka cabut awal. Macam-macam ragam.

Yuni sudah on komputer ribanya. Wallpaper gambar arnab menampakkan gigi dua batang seolah-olah tersengih menjadi penghias komputer riba Yuni. Atas sebab itulah, Berry menegurnya sebagai ‘rabbit’ sebentar tadi. Berry sudah lesap, Yuni sendiri tidak menyedarinya. Mungkin dalam perjalanan membeli sarapan di kafe tingkat bawah, teka Yuni.

Talian internet automatik disambungkan kerana di situ menggunakan rangkaian wayarles di seluruh bangunan 4 tingkat itu. Ikon Mozilla Firefox dikliknya. Laju capaian internet awal pagi itu dan dalam masa beberapa saat sudah terpapar laman sensawang Google. Pantas jari-jemari menaip url, http://priasetia.blogspot.com.

Eh, lagu background dia dah tukar lah!”

Teriak kecil Yuni spontan. Cepat-cepat Yuni mengecilkan volume komputer ribanya yang secara tiba-tiba menjerit kuat dari muzik yang datang dari laman blog itu. Lagu band mana ni ya? Band Indonesia rasanya. Rancak tapi best! Seronok pula Yuni melayan lagu itu. Dipetik-petik jarinya sambil mulut comelnya terkumat-kamit mendendangkan sama.

Segera Yuni membuka tetingkap baru bagi mencari lirik lagu itu pula. Gigih sungguh perempuan ini. Berkerut-kerut dahinya menaip perkataan ‘lirik Jatuh Cinta Lagi’ di laman Google. Sebaik sahaja matanya menangkap result carian yang bertepatan, pautan itu diklik pantas. Satu laman lirik-lirik lagu yang memaparkan lirik lagu Jatuh Cinta Lagi terbuka depan mata Yuni. Tidak puas dengan itu, dicetaknya pula.

Nama Band: Matta

Judul Lagu: Jatuh Cinta Lagi

Pertama ku melihat mu bergetar rasa hati ku,

Berdebar-debar jantung ku mungkin ku suka pada mu

Ketika ku melihatnya berdetak-detak didada,

mungkin itu suatu pertanda bahwa ku suka padanya

Dia atau dia,

ku pilih yang mana,

aku pusing, untuk memilihnya

(Korus)

Jatuh cinta lagi,

lagi-lagi ku jatuh cinta,

aku jatuh cinta,

kepada setiap wanita

Jatuh cinta lagi,

lagi-lagi ku jatuh cinta,

harus bagaimana,

ku bingung memikirkannya

Layaknya seorang pria ku coba untuk setia,

mencintai satu wanita tetapi aku tak bisa

Dia atau dia, yang harus ku cinta,

aku pusing untuk memilihnya

Ralit Yuni menyanyi-nyanyi riang sambil kepalanya ke kiri ke kanan mengikut alunan muzik. Sungguh comel Yuni dengan matanya tertutup rapat menghayati lagu. Tidak sedar akan Berry yang sudah terpacul di muka pintu bilik pejabat Yuni yang memang terbuka semenjak tadi.

“Wah wah wah, kemain si rabbit berangan! Hahaha...”

Gelak besar Berry melihat keletah Yuni. Merona merah wajah Yuni menahan malu. Macam mana aku boleh tak perasan mamat ni tercegat depan aku? Getus hati Yuni geram.

Nah, air kotak Milo dengan 6 biji karipap untuk rabbit kesayangan aku. Eh, bukan ke rabbit sepatutnya makan lobak saja?”

Berry sekadar menyakat. Yuni menerima bungkusan plastik dari tangan Berry seraya mencebirkan mulutnya. Panjang muncungnya.

Lah, semua karipap kentang ke? Karipap sardin tak ada ke?”

“Dah habis. Makcik Sakinah kata dia ada nampak kau datang ofis awal pagi tadi tapi bukan nak menyinggah pun kafe bawah tu. Waktu tu, panas-panas lagi karipap sardin kesukaan kau tu. Sekarang dah pukul lapan dua puluh minit pagi, semua kuih-muih dah habis. Padan muka!”

Wekkk...

Yuni memuncungkan mulut lagi pada Berry. Geram Berry melihatnya. Mahu saja diciumnya perempuan itu. Berry dan Yuni baru dua tahun usia persahabatan mereka. Namun persahabatan mereka cukup sekadar sebagai kawan pejabat. Tidak lebih daripada itu. Banyak kali Berry mengajak Yuni keluar berlibur di luar bersama-sama namun ditolak secara baik oleh Yuni.

Peranan Berry di Muzika Entertainment adalah sebagai seorang ketua pegawai pemasaran di situ. Segala urusan keluar masuk instrumen-instrumen muzik antara pembekal dan pelanggan dia lah yang bertanggungjawab. Setiap tahun lelaki itu perlu mencapai target jualan yang tinggi dan perlu memastikan staf-staf pemasaran di bawahnya turut mencatat jualan yang baik juga.

Bermula sebagai seorang pegawai pemasaran di peringkat rendah dan kini menjawat tugas ketua, Berry sudah masak dengan perangai sebahagian besar pelanggan yang berkunjung showroom Muzika Entertainment. Ada yang datang berjam-jam lamanya mencuba gitar, bertanya spesifikasi itu ini tetapi belinya tidak. Ada pula yang sudah meletakkan deposit lebih seribu ringgit untuk sebuah piano yang berharga mencecah empat ribu ringgit tetapi berubah fikiran tidak jadi membelinya. Malah menuntut pula wang deposit itu dikembalikan.

Paling tidak dapat dilupakan oleh Berry ialah peristiwa setahun lepas apabila ada sebuah studio jamming yang baru dibuka oleh dua remaja lelaki yang mahu membeli kelengkapan instrumen muzik bagi melengkapkan studio mereka. Punya lah semangat Berry mencadangkan apa yang perlu dan apa yang tidak perlu, beserta quotation harga yang minimum.

Namun bila sampai masa, kata mereka premis studio mereka terbakar. Mujur instrumen-instrumen muzik seperti set amplifier berjenama Hartke, set pembesar suara berjenama Wharfedale Pro dan beberapa buah gitar handmade yang dibeli belum dihantar ke studio sebelum berlakunya kebakaran itu.

Atas dasar simpati kemanusiaan, Berry menerangkan pada pihak pengurusan Muzika Entertainment apa yang telah berlaku dan syarikat memulangkan RM20,000 kepada dua remaja lelaki terbabit. Macam-macam!

“Kau tak ada bilik sendiri ke Berry? Sibuk je tiap pagi melepak dalam bilik aku sampai pukul sembilan. Huh!”

“Amboi, terima kasih pun tidak susah payah aku beli kau sarapan dihalaunya pulak kita. Tiap pagi aku nampak kau datang ofis awal dan setiap kali itulah kau mengadap internet. Website apa yang kau buka?”

“Blog..”

Ringkas jawapan Yuni. Segera Yuni klik butang close apabila dirinya nampak bayangan kepala Berry di skrin komputer ribanya cuba mengintai laman blog yang dibuka itu. Namun Berry berjaya menangkap sepotong nama – PRIASETIA. Habislah Yuni jadi bahan!

“Blog lelaki Indon mana kau buka tu? Oh inilah kerja kau ya setiap pagi datang awal ofis sebab nak mengadap blog. Aku inform abang Mizi.”

Sakat Berry lagi sambil berpura-pura membuat muka serius. Mizi adalah majikan mereka semua di Muzika Entertainment. Namun Muzikers memanggilnya dengan gelaran abang tidak berencik-encik. Lebih santai menurut Mizi.

“Alah, aku bukak blog pun bukan dalam waktu kerja. Time awal pagi dengan time lunch saja.”

Ada getar dalam penjelasan Yuni. Mungkin takut dengan ancaman Berry yang sengaja mengusik dirinya. Maklumlah, Yuni merupakan Muzikers paling muda di situ, asyik kena sakat saja apatah lagi dirinya seorang perempuan.

“Oh, itu yang sanggup mengadap blog sampai tak makan tu ya? Pagi petang suruh aku tapaukan. Mujur aku ni lelaki budiman. Hehehe.”

Gelak kecil Berry. Puas hatinya dapat menyakat si comel arnab bernama Yuni itu. Beredar dirinya dari bilik itu memandangkan waktu kerja sudah bermula.