blogpriasetia

Blog Priasetia: Bab 1
Thursday, May 6, 2010 , 5:35 AM

Disclaimer: Penyiaran sebahagian kandungan novel Blog Priasetia di dalam laman ini adalah bagi tujuan promosi. Sebarang penyiaran semula karya ini tanpa keizinan adalah salah dan melanggar hakcipta penulis. Tindakan akan diambil.

BAB 1

Hujung minggu merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh Yuni. Gadis comel itu mahu membalas dendam untuk berehat secukupnya di rumah. Selalunya usai bangkit awal untuk solat Subuh, dirinya akan mencuri masa untuk melelapkan diri sekitar detik lapan pagi.

Tetapi tidak pada hari ini. Lebih-lebih lagi ibunya sedang menyediakan karipap sardin kegemarannya. Aroma inti karipap itu berbalutkan adunan doh tepung yang rangup kulitnya menyegarkan mata Yuni.

Yuni menyelak akhbar hari Ahad. Helaian demi helaian padat dengan cerita-cerita sensasi artis dan selebriti tanahair. Lekas Yuni melangkau lembaran yang menyiarkan cerita-cerita sebegitu. Dalam banyak-banyak tajuk berita, mata gadis itu tertancap pada satu artikel yang menarik minatnya untuk membaca.

Mahkamah Siber Perlu Diwujudkan

Malaysia memerlukan Mahkamah Siber bagi mengadili kes-kes berkaitan jenayah siber di negara ini. Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Shaziman Abu Mansor berkata penubuhan mahkamah itu perlu dipertimbangkan dengan mengambil kira akan berlaku peningkatan kes melibatkan jenayah siber di negara ini.

Sungguhpun Malaysia mempunyai peruntukan undang-undang untuk mendakwa pesalah jenayah siber tetapi masih lemah daripada segi penguatkuasaan. Oleh itu, Malaysia perlu memberikan lebih tumpuan kepada penguatkuasaan undang-undang siber sedia ada bagi membendung aktiviti berkaitan jenayah siber.

Malaysia telah memperkenalkan beberapa undang-undang siber, termasuk Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Tandatangan Digital 1997, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Peraturan Tandatangan 1998.

Mengenai kewujudan sebuah laman blog yang didakwa menghina Nabi Muhammad S.A.W, Shaziman berkata pihaknya dengan kerjasama polis masih menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

“Macam-macam! Sepatutnya makin canggih sesebuah teknologi, makin dimanfaatkan lah sebaiknya. Ini tidak, disalahgunakan pulak. Memang patut pun mahkamah siber diwujudkan!”

Yuni mengomel seorang diri dan tidak menyedari akan kelibat ibunya yang sudah berada di belakangnya menjenguk intipati artikel yang sedang dibebelkan anaknya.

“Yuni baca apa tu?”

Eh, ibu...patut lah bau karipap je kat belakang tadi. Hehehe... Paper ni bu, cerita tentang dunia blog.”

“Blog tu apa, Yuni?”

“Kalau ibu nak gambaran secara ringkas, blog ni macam ibu tulis diari tu. Cuma blog ni boleh dibaca seluruh dunia. Itu je lah bezanya..”

Ish, kalau itu bezanya bermakna Yuni tak boleh samakan blog dengan diari. Diari adalah satu coretan yang menjadi rahsia untuk diri sendiri dan selamat dari pengetahuan orang lain. Kalau dah boleh baca seluruh dunia, itu dah kira menjaja kisah peribadi. Maknanya penulis blog ni sama taraf dengan artis jugak lah kan? Bezanya artis, wartawan yang dedahkan kisah hidup mereka tapi penulis blog dedahkan dengan kerelaan sendiri. Begitu?”

Err...mmm... entah lah bu. Ibu ni sekali tembak dengan soalan, tak mampu Yuni nak jawab tau. Hehehe...” Yuni mengalah. Ada kebenaran pada kenyataan spontan yang keluar dari mulut ibunya itu.

“Mahkamah siber tu apa pulak? Tak sempurna lagi ke sistem kehakiman Malaysia kita ni?” Rajin pula wanita tua itu menduga. Dia sekadar mahu mendengar buah pandangan anak kesayangannya itu.

“Bukan tak sempurna, bu tapi mahu lebih menyempurnakan sistem sedia ada. Mahkamah siber ni spesifik kepada perlakuan jenayah yang dilakukan oleh pesalah siber. Lebih fokus dan khusus, jadi tidak lah messy. Satu lagi kalau diwujudkan mahkamah siber ni, penjenayah maya ni boleh dijejak dan diberkas. Takda lah mereka senang-lenang membuat durjana dalam internet. Yuni ada terbaca di forum-forum ilmiah yang menyatakan sekarang ni, banyak laman blog disalahgunakan untuk menyerang institusi kepimpinan lah, menghina keperibadian seseorang lah, menyebar bahan pornografi lah, menipu orang ramai lah dan macam-macam tujuan negatif yang lain. Di Malaysia, selain dari kementerian kita ada MIMOS untuk memantau semua laman sensawang yang boleh datangkan mudarat. Walaupun bukan seratus-peratus boleh dikawal tapi sekurang-kurangnya itu lebih baik dari tiada.”

Panjang lebar Yuni mengulas kepada ibunya. Wanita tua itu mengangguk tanda memahami. Anak-beranak itu rancak bersembang sambil bersarapan berdua menjamah karipap yang masih panas dan ‘berasap’.

“Oh ya Yuni, ni kad kahwin Soraya. Sebaya dengan Yuni kan dia?”

Ha’ah. Awalnya Soraya kahwin bu? Orang mana dia dapat?”

“Orang KL jugak, kenal menerusi internet katanya...”

“Internet? Hehehe... tu salah satu kebaikan dunia siber jugak tu, bu.”

“Pandai lah anak ibu... nanti jangan kata lepas ni ibu dapat tahu Yuni jatuh cinta dengan penulis blog pulak...”

Hehehe...ada-ada je ibu ni tau!”